ISU SEMASA
Apa Pemimpin UMNO Buat Di Kompleks Seri Perdana?
PUTRAJAYA: Beberapa pemimpin UMNO dilihat memasuki pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini sejak pukul 6 petang tadi.
Antara yang terawal dilihat memasuki kompleks berkenaan adalah kenderaan milik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Kira-kira satu jam kemudian, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dilihat berhenti di hadapan balai pengawal kompleks tersebut sebelum meneruskan perjalanan, namun tidak dapat dipastikan pemiliknya.
Dalam pada itu, satu sumber mengesahkan pertemuan antara pemimpin-pemimpin itu akan berlangsung kira-kira pukul 8 malam.
Petang tadi, seramai 158 ketua bahagian UMNO yang hadir ke mesyuarat tergempar di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur mendesak pilihan raya umum diadakan dengan kadar segera.
Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, desakan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat tertinggi parti terdekat.
“Majoriti Ketua Bahagian yang hadir hari ini setuju PRU-15 (Pilihan Raya Umum) diadakan dengan kadar segera.
“Mesyuarat hari ini adalah untuk melihat kesiapsiagaan dan keperluan untuk PRU15 nanti, mungkin dalam tempoh sebulan atau mungkin seminggu lagi,” katanya.
Dalam mesyuarat tergempar itu, hanya tiga ahli Majlis Tertinggi (MT) parti hadir, manakala Ismail Sabri serta Mahdzir Khalid tidak hadir kerana ada urusan lain.
Sumber: Utusan Malaysia
Post a Comment
0 Comments