ISU SEMASA
PEMERKASA: Bayaran Sehingga RM1,000 Secara 'One-Off' Bagi Golongan Hilang Pekerjaan
SHAH ALAM - Golongan B40 yang kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19 akan menerima bantuan tunai secara 'one-off' sebanyak RM500 di bawah inisiatif ke-15 Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berpendapatan RM1,000 dan ke bawah, mereka akan menerima bayaran tambahan sebanyak RM500.
Menurutnya, kedua-dua kategori itu melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.
“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Perkeso.
“Insya-ALLAH, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing,” katanya dalam siaran langsung pengumuman khas Pemerkasa pada Rabu.
Tambah beliau, bantuan kehilangan pekerjaan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima.
Kerajaan pada Rabu mengumumkan Pemerkasa dengan lima fokus utama melibatkan 20 inisiatif bagi pemulihan serta pemerkasaan negara sepanjang tahun ini.
Lima fokus utama itu adalah mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.
Sumber: sinarharian.com.my
Post a Comment
0 Comments